BERITA SEMASA

Jasad mangsa lemas terakhir Pantai Tanjung Lompat ditemukan

KOTA TINGGI – Mangsa terakhir tragedi lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini, ditemukan orang awam petang tadi.

Jasad Mohamad Haiman Fitri Supian, 16, ditemukan kira-kira pukul 3.05 petang di kawasan batuan pesisir Pantai Tanjung Siang, kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohamad berkata, identiti mangsa kemudian disahkan oleh ahli keluarganya kira-kira pukul 4.30 petang.

“Mayat ditemui orang awam pada pukul 3.05 petang di kawasan batuan pesisir Pantai Tanjung Siang, di sini iaitu kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian.

“Ahli keluarga mangsa juga mengesahkan identiti mangsa pada jam 4.30 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penemuan itu melengkapkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas tiga lagi mangsa terdahulu ditemukan dalam tempoh tiga hari.

Mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemukan lemas kira-kira pukul 1.25 tengah hari Rabu lalu.

Mangsa kedua, Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan pada pukul 1.53 tengah hari keesokannya, manakala mangsa ketiga, Muhammad Adib Hafiy Kamal, 16, ditemukan kira-kira pukul 11.15 pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi Rabu lalu, seorang daripada mangsa dilaporkan hampir lemas sebelum rakan-rakannya cuba membantu menyelamatkannya.

Bagaimanapun, usaha menyelamat itu bertukar tragedi apabila mereka turut dihanyutkan arus dan lemas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button