JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Myanmar lemas ketika mandi air terjun di Taiping

TAIPING – Seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 30-an ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama empat rakannya di kawasan air terjun Waterfall Up String Greeneries Memorial Park, Jalan Tupai, Taman Saga di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.01 pagi.

Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping segera dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira tujuh minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, ketua operasi melakukan penilaian situasi sebelum mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri lengkap serta jaket keselamatan bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Anggota kemudiannya memasuki kawasan air dan melakukan pencarian di dasar air terjun menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan selepas timbul di permukaan air hasil usaha pencarian yang dijalankan anggota bomba.

Mangsa kemudian dibawa naik ke tebing menggunakan pengusung sebelum diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Sabarodzi, operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12 tengah hari sebelum ditamatkan pada pukul 1.08 petang.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan siasatan berhubung kejadian tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button