Letupan di pangkalan tentera Bolivia ragut sekurang-kurangnya 10 nyawa
LA PAZ – Sekurang-kurangnya 10 orang maut manakala puluhan lagi cedera dalam dua letupan di sebuah kemudahan tentera di bandar Viacha, Bolivia pada Jumaat.
Kementerian Pertahanan Bolivia memaklumkan, letupan berlaku di kawasan penyimpanan bahan piroteknik, kira-kira 30 kilometer dari ibu negara pentadbiran, La Paz.
Pengarah Kesihatan Viacha, Rita Nebraska berkata, jumlah kematian dipercayai antara 10 hingga 15 orang, manakala 62 lagi mengalami kecederaan.
“Seramai 14 daripada mangsa yang cedera telah dipindahkan ke hospital di La Paz, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang mengalami melecur tahap ketiga,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Tambah beliau, pasukan bomba memberi amaran masih terdapat sumber haba di lokasi kejadian dan penduduk dinasihatkan berada sekurang-kurangnya 150 meter dari kawasan berkenaan berikutan risiko berlaku letupan susulan.
Sementara itu, jurucakap polis, Roger Roca berkata, terdapat bunga api disimpan di kemudahan tentera berkenaan, namun punca letupan masih dalam siasatan.
“Tujuh individu turut dilaporkan masih hilang selepas kejadian,” katanya.
Polis memaklumkan puluhan rumah berhampiran mengalami kerosakan, manakala ramai orang awam cedera akibat serpihan kaca yang pecah akibat letupan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Ernesto Justiniano Urenda berkata, kira-kira 50 orang awam dan enam anggota tentera yang cedera telah menerima rawatan di beberapa pusat perubatan di Viacha.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca letupan, kaedah penyimpanan bahan piroteknik serta menentukan sama ada terdapat pihak yang bertanggungjawab.
Rakaman yang dimuat naik di media sosial menunjukkan salah satu letupan menyebabkan tingkap bangunan berhampiran pecah, selain serpihan berterbangan ke udara ketika kepulan asap hitam tebal kelihatan dari kawasan kemudahan tentera berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








