BERITA SEMASA

Anggota PALAPES dikecualikan empat ujian untuk sertai ATM – Khaled Nordin

ARAU – Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif kini diberikan pengecualian daripada menduduki empat ujian tertentu dalam proses pemilihan menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui latihan Pegawai Kadet Graduan, mulai tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengecualian itu selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025.

Menurut beliau, empat ujian yang dikecualikan ialah Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam.

“Mulai tahun ini, calon PALAPES yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki beberapa ujian tertentu ketika proses pemilihan.

“Pengecualian ini selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025,” katanya.

Khaled Nordin

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Sesi Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, sekiranya anggota PALAPES diserap sebagai anggota tetap ATM, tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa mereka akan diambil kira tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Katanya, langkah itu adalah antara beberapa inisiatif Kementerian Pertahanan bagi memperluas peluang pegawai kadet PALAPES meneruskan kerjaya dalam ATM.

Dalam pada itu, kementerian sedang menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada pegawai kadet PALAPES, termasuk elaun kehadiran latihan tempatan, bonus tahunan dan pemberian pakar.

“Pegawai lepasan PALAPES juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi ATM,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kementerian turut mencadangkan pindaan perundangan bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang telah tamat tempoh perkhidmatan tetapi masih berminat kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela, tanpa perlu ditauliahkan semula.

Menurutnya, cadangan pindaan itu kini menunggu kelulusan.

“Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya.

Selain itu, ATM turut meneliti cadangan memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap ATM bagi memberikan pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar.

Katanya, laluan pembangunan kerjaya dalam Angkatan Sukarela juga sedang diperkemas melalui penyesuaian tempoh kursus serta pembangunan Pendidikan Ketenteraan Profesional yang selari dengan konsep Angkatan Masa Hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button