PRU16: Kerajaan Perpaduan sudah masuk fasa akhir – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang menghampiri empat tahun dilihat sudah memasuki tempoh lazim bagi sesebuah Kerajaan Persekutuan menuju pilihan raya umum (PRU), kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa memandangkan tempoh sekitar tiga tahun lima bulan hingga empat tahun merupakan tempoh lazim sebelum PRU diadakan.
“Kita ingat bahawa dalam sistem demokrasi pilihan raya di Malaysia ini edah pilihan raya selepas tiga tahun itu sudah sampai kepada edah-edah pilihan raya … selagi mana tak sampai ke tempoh penamat.
“Dan dalam tradisi pilihan raya di peringkat persekutuan tidak pernah kita sampai ke peringkat lima tahun baru terbubar dengan sendiri dan secara averagenya tiga tahun, lima bulan ke empat tahun itu adalah yang biasa.
“Jadi bukanlah sesuatu yang luar biasa pun kalau dikatakan kita sekarang ini sudah masuk ke fasa-fasa akhir,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026, di sini hari ini.
Baca juga : PAU 2026 tentukan hala tuju kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, lebih baik Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal berbanding menunggu tempoh penggal Parlimen yang hanya akan berakhir pada hujung tahun depan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sekiranya penggal Parlimen diteruskan sehingga tamat tempohnya, gabungan itu bersedia menghadapinya.
“Pada hemat saya, kalau pilihan raya umum diadakan lebih awal, itu lebih baik. Jadi, mandat rakyat dapat kita peroleh.
“Tetapi andainya jika penggal ini sehingga penghujung tempoh atau jeda waktunya, maka kita juga bersedia menghadapinya,” katanya lapor BH Online.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








