10,000 tiket MADANI F1 GP Bahrain habis terjual
SEPANG – Sambutan terhadap Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) cukup menggalakkan apabila kesemua 10,000 tiket MADANI yang diperuntukkan untuk rakyat Malaysia sudah habis terjual.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, setakat ini tiada penambahan kuota tiket MADANI dibuat, namun pihaknya sedang mempertimbangkan kemungkinan menyediakan tiket tambahan di lokasi bersesuaian.
“Setakat ini belum ada penambahan dan tiket itu sudah habis terjual semuanya. Untuk tiket MADANI sahaja, sebanyak 10,000 tiket diperuntukkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pendaftaran Sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran GP Bahrain di Malaysia, hari ini.
Menurut Taufiq, tiket bagi perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober depan itu juga hampir habis dijual, termasuk tiket MADANI yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, sebanyak 85,000 tiket telah terjual setakat ini, manakala 27,000 lagi berada dalam tempahan.
“Berkaitan tiket MADANI ini, kita cuba melihat sekiranya ada penambahan di tempat-tempat yang boleh dipertimbangkan dalam masa terdekat,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Dalam perkembangan sama, Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membuka peluang kepada 1,000 rakyat Malaysia untuk menyertai program sukarelawan Rakan Muda sempena penganjuran F1 dan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di SIC.
Daripada jumlah itu, seramai 500 sukarelawan akan ditugaskan sepanjang perlumbaan F1, manakala 500 lagi akan terlibat dalam saingan MotoGP yang dijadual berlangsung di Sepang pada hujung Oktober.
“Permohonan ini akan dibuka bermula 2 September 2026 secara dalam talian melalui platform sistem MyProfil di bawah Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES),” katanya.
Taufiq berkata, sukarelawan terpilih akan ditempatkan dalam empat skop utama, iaitu perkhidmatan pelanggan, tiket dan kemasukan, perhubungan atau penyambut tetamu serta pengurusan kawasan MADANI.
Program itu, katanya, memberi peluang kepada golongan belia memperoleh pengalaman secara langsung dalam pengurusan acara sukan bertaraf antarabangsa selain menyumbang kepada kelancaran penganjuran F1 dan MotoGP di Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




