Pekerja ladang maut motosikal rempuh SUV buat pusingan U
MARANG – Seorang pekerja ladang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda HR-V yang dipercayai sedang membuat pusingan U di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Wakaf Dua, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa, Muhamad Ikhwan Adenan, 29, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Saari Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Baru Sungai Binjai, Ajil, Hulu Terengganu dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangi mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum merempuh sebuah kenderaan jenis Honda HR-V.
“Pemandu kenderaan itu, seorang peniaga berusia 43 tahun, dikatakan sedang membuat pusingan U untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang Leban, Bukit Payong,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Saari berkata, pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








