BERITA SEMASADALAM NEGERI

Anak kecil masih bertarung nyawa, bapa maut dalam kemalangan tragis

BESUT – Seorang bapa maut manakala bayi lelakinya berusia setahun parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Gong Medang, di sini, malam tadi.

Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 10 malam apabila mangsa, Mohd Zulshahriel Mohd Zalfari, 41, tercampak ke dalam longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak lelakinya yang diletakkan dalam bakul motosikal pula mengalami kecederaan parah selepas tercampak ke atas jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, bayi malang itu pada mulanya dihantar ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dinaiki mangsa dan anaknya dengan sebuah kereta PERODUA Myvi pada kira-kira jam 10 malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bersama anaknya yang datang dari arah lorong Atas Gong keluar simpang dan membelok ke kanan jalan.

“Pada masa sama, kereta PERODUA Myvi yang melalui jalan utama dari Tembila ke Kampung Raja tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang motosikal berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 019-4475767.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button