Pintas Utama sumbang komputer riba, bantu perkasa pendidikan digital anak asnaf
IPOH – Pintas Utama Sdn Bhd menyumbangkan 50 unit komputer riba bernilai hampir RM200,000 kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan bagi membantu memperkasakan pendidikan serta pembelajaran digital golongan berkenaan.
Sumbangan itu disalurkan menerusi Program Kerjasama Wakalah dalam Seminar Kecemerlangan SPM 2026 – Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal (SBBP) Zon Tengah yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama, Datuk Marhalim Mohamed berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat membantu melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Menurutnya, akses kepada teknologi dan pembelajaran digital amat penting dalam persekitaran pendidikan masa kini.
“Komputer riba bukan lagi sekadar kemudahan tambahan, sebaliknya telah menjadi keperluan penting bagi membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran, melaksanakan tugasan serta meningkatkan kemahiran digital mereka,” katanya dalam kenyataan.
Penyerahan sumbangan disempurnakan wakil Pintas Utama dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Wan Maizura Wan Zahari serta Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Pintas Utama, Rohizan Omar.
Inisiatif itu merupakan kesinambungan usaha Pintas Utama di Perak apabila syarikat berkenaan sebelum ini menyumbangkan 30 unit komputer riba kepada pelajar dalam satu program di Manjung pada 26 Ogos lalu.
Sehari sebelum itu, syarikat sama turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada lebih 80 asnaf di Masjid Al-Ikhwan, Tanjong Malim, sempena sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan.
Marhalim berkata, pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya tertumpu kepada aspek infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan dan kesejahteraan masyarakat.
Sementara itu, penerima sumbangan, Ayuni Natasha Muhammad Zamrud, 17, berkata komputer riba berkenaan amat bermakna dalam membantu persiapannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Sumbangan itu sangat membantu. Saya boleh terus menghantar tugasan kepada guru untuk disemak, malah membolehkan saya membuat latihan sendiri dan mendapatkan semakan guru untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.
Seorang lagi penerima, Muhammad Fadzli Sharolmuni, 17, berkata sebelum ini dia terpaksa menyiapkan kerja kursus di makmal komputer sekolah atau kafe siber.
Anak yatim daripada lapan beradik itu berkata, keadaan ekonomi keluarga menyukarkan pembelian komputer riba, terutama selepas ibunya mengalami strok dan tidak dapat bekerja.
“Kami bergantung kepada bantuan daripada kakak dan abang berusia 27 dan 26 tahun sebagai tonggak utama keluarga,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








