Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI dinaikkan kepada 300 liter mulai esok
PUTRAJAYA – Kerajaan akan menaikkan had kelayakan asas bulanan di bawah inisiatif BUDI MADANI daripada 200 liter kepada 300 liter, berkuat kuasa mulai esok.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pelarasan itu seperti diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Ambang Merdeka 2026.
Menurut kementerian itu, pelarasan berkenaan akan dilaksanakan secara automatik kepada penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
“Seramai 16 juta pengguna menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu katanya, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak boleh membuat permohonan tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan.
Dengan tambahan tersebut katanya, jumlah kelayakan bulanan mereka boleh ditingkatkan daripada 300 liter kepada 400 liter.
“Pemilik pikap dan jip yang layak tetapi belum memohon tambahan tersebut boleh berbuat demikian melalui portal BUDI MADANI,” menurut kenyataan itu.
Bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter mulai 1 September 2026.
MOF berkata, pengembalian had kelayakan bulanan itu mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguasaan yang lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan kerajaan.
“Langkah ini turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk urusan harian dan peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








