Tiada insiden, sambutan Hari Kebangsaan berjalan seperti dirancang – Fahmi
PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya hari ini berlangsung lancar dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, semua perancangan yang disusun berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Alhamdulillah, segala perancangan kita berjalan dengan baik. Kita dapat saksikan lebih daripada 100,000 orang telah hadir dan tidak ada apa-apa insiden yang tidak diingini.
“Semua perancangan berjalan dengan baik, cuaca juga sangat baik hari ini dan kita mengikut jadual seperti yang telah dirancang,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Menurut beliau, sambutan kali ini menerima kehadiran rakyat dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Johor dan Kelantan yang sanggup datang untuk bersama-sama meraikan hari bersejarah negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Ramai yang datang dari seluruh pelosok negara untuk sama-sama menyambut hari yang sangat bermakna dan cukup keramat ini,” katanya lagi.
Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) serta agensi berkaitan yang memantau keadaan cuaca sepanjang acara berlangsung.
Beliau berkata, pengunjung yang masih berada di Putrajaya boleh menikmati pelbagai aktiviti dan pameran yang disediakan termasuk di Anjung Floria serta Rio Merdeka di Monumen Alaf Baharu.
“Kita juga menyediakan banyak trak makanan untuk pengunjung. Gunakan peluang ini untuk beriadah bersama keluarga,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Sambutan Hari Malaysia 2026, Fahmi berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada 5 September bagi memuktamadkan persiapan akhir sambutan yang dijadual berlangsung di Borneo Cultural Centre, Kuching pada 16 September.
Menurutnya, selain acara rasmi pada sebelah malam, pelbagai program sampingan turut disusun di sekitar Borneo Cultural Centre dan Plaza Merdeka.
“Kita ada pameran, eksibisi sejarah pembentukan Malaysia dan pelbagai acara lain yang telah disusun. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk platform Merdeka 360,” katanya lagi.
Beliau turut mengalu-alukan kehadiran rakyat dari seluruh negara ke Kuching bagi memeriahkan Sambutan Hari Malaysia tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








