BERITA SEMASA

Warga emas maut bot terbalik langgar tunggul kayu di Tasik Kenyir

KUALA BERANG-  Seorang wanita warga emas maut selepas terjatuh ke dalam air dan terperangkap di bawah bot yang dinaikinya selepas melanggar tunggul kayu di sekitar Gua Bewah, Tasik Kenyir, petang semalam.

Mangsa, Wan Esah Wan Daud, 63, dari FELDA Chiku, Kelantan, disahkan meninggal dunia akibat lemas dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa berada di Tasik Kenyir bersama 27 ahli keluarga untuk bercuti di rumah bot.

Menurutnya, mangsa bersama tiga ahli keluarga lain menaiki sebuah bot untuk bersiar-siar selepas rumah bot berkenaan diparkir di Gua Bewah.

“Ketika berada di lokasi kejadian, bot dinaiki mangsa terlanggar tunggul kayu menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam air sebelum terperangkap di bawah bot.

“Ahli keluarga berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya kembali ke rumah bot. Anak lelaki mangsa turut memberikan bantuan CPR, namun tiada perkembangan positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata, mangsa kemudiannya dibawa menggunakan bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selama kira-kira sejam sebelum tiba di daratan Tasik Kenyir.

Katanya, mangsa yang mempunyai sejarah penyakit paru-paru disahkan meninggal dunia akibat lemas dan polis tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi, khususnya di kawasan tasik dan sungai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button