Lelaki langgar kepala isteri dengan motosikal ditahan polis
MELAKA – Tindakan ganas seorang lelaki memukul dan melanggar kepala isterinya menggunakan motosikal di Kota Shahbandar di sini membawa padah apabila suspek ditahan polis pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, suspek berusia 22 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin hasil maklumat dan risikan dijalankan.
Menurut beliau, tangkapan dilakukan oleh sepasukan anggota Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
“Siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai penghantar barang mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk dua kes berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
Terdahulu, kejadian itu mencetuskan perhatian ramai selepas satu video tular memaparkan suspek bertindak agresif menumbuk, memukul dan menampar mangsa sehingga terbaring di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar.
Malah, suspek turut dipercayai melanggar kepala mangsa menggunakan motosikal dalam kejadian tersebut.
Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini, polis giat mengesan suspek selepas menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 51 tahun susulan penularan video kejadian berkenaan di media sosial.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








