BERITA SEMASA

Saravanan utus surat kepada PM, kesal tuduhan tidak berasas SPRM

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan meluahkan rasa kesal terhadap dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaitkan dirinya dengan proses pengambilan pekerja asing.

Bekas Menteri Sumber Manusia itu menegaskan beliau tidak pernah terlibat secara peribadi dalam pengambilan pekerja asing, termasuk membabitkan mana-mana ahli keluarganya ketika memegang jawatan berkenaan.

Dalam surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saravanan berkata, nota Jemaah Menteri bertarikh 13 April 2022 menjelaskan bahawa Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan pengambilan pekerja asing.

Menurutnya, proses berkenaan dilaksanakan menerusi sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) sebelum senarai syarikat yang layak dipilih secara automatik untuk menghadiri sesi temu duga dikemukakan kepada pusat sehenti khas (OSC) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Saya sebagai menteri tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai syarikat-syarikat yang memohon dan dipilih untuk menghadiri sesi temu duga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Saravanan turut mendakwa dua individu, Syed Amirul dan Siva Ganesan, yang ditahan pada Ogos 2022 berkaitan proses pengambilan pekerja asing telah dipaksa membuat pengakuan bagi mengaitkan namanya.

Katanya, walaupun kes berkenaan sebelum ini selesai tanpa sebarang siasatan terhadap dirinya, isu sama kini dibangkitkan semula meskipun Syed Amirul telah meninggal dunia pada 28 Julai 2026.

“Kini, pihak SPRM dilihat cuba meneruskan tindakan terhadap saya pada ketika saksi utama tidak wujud lagi,” katanya.

Beliau berkata, beberapa perbincangan dengan Perdana Menteri telah diadakan sejak November 2025 berhubung perkara itu dan beliau sebelum ini diberikan jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun, Saravanan mendakwa SPRM secara tiba-tiba memulakan tindakan undang-undang atau siasatan terhadapnya.

“Kes ini jelas tidak berasas dan wajar dihentikan serta-merta demi memelihara integriti semua pihak yang terlibat,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada rampasan wang tunai atau bahan bukti material yang dikaitkan dengannya serta mendakwa tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana pegawai kerajaan berkaitan proses berkenaan.

Saravanan juga berkata kuasa kelulusan pengambilan pekerja asing bukan berada di tangannya dan beliau tidak mengenali mana-mana pemohon yang dinamakan dalam pertuduhan.

Menurutnya, sepanjang proses itu juga tiada komunikasi berlaku antara beliau dengan Syed Amirul atau mana-mana individu lain yang dikaitkan dengan kes tersebut.

Saravanan berharap Perdana Menteri mengambil perhatian terhadap perkara itu dan mendakwa tindakan terhadapnya merupakan satu bentuk penganiayaan serta mempunyai motif tertentu daripada pihak agensi kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button