Ratusan jemaah dipercayai diculik selepas serangan masjid di Nigeria
ABUJA- Ratusan jemaah dikhuatiri menjadi mangsa penculikan kumpulan bersenjata ketika sedang menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di negeri Niger, Nigeria, pada Jumaat lalu.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang waktu tempatan di Masjid Kpenya, daerah Dekara, Borgu, selepas kumpulan bersenjata menyerang beberapa buah kampung berhampiran.
Polis pada awalnya mengesahkan antara 60 hingga 80 orang daripada beberapa jemaah dilarikan namun jumlah sebenar mangsa masih belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, penduduk tempatan mendakwa jumlah mangsa mungkin jauh lebih ramai selepas tersebarnya rakaman video yang dipercayai memaparkan kira-kira 600 wanita, kanak-kanak dan warga emas berada dalam tahanan kumpulan bersenjata di kawasan hutan.
Dalam rakaman itu, mangsa dilihat sedang duduk di kawasan semak sambil dikelilingi lelaki bersenjata.
“Seorang lelaki yang bercakap dalam bahasa Hausa turut meminta ahli keluarga mengenal pasti saudara-mara mereka yang berada dalam rakaman berkenaan.
Bagaimanapun, kesahihan video terbabit termasuk jumlah mangsa dan lokasi rakaman masih belum dapat disahkan,” lapor berita antarabangsa.
Susulan kejadian itu, Presiden Nigeria, Bola Tinubu, mengarahkan operasi menyelamat diketuai pasukan tentera untuk menyelamat dan membebaskan mangsa yang dipercayai masih ditahan kumpulan bersenjata berkenaan.
Kerajaan Nigeria kini berusaha mendapatkan angka rasmi mangsa yang diculik selain mengesan lokasi mereka.
Kejadian berkenaan menambah kebimbangan terhadap peningkatan penculikan secara besar-besaran di Nigeria, khususnya di wilayah utara dan tengah yang berdepan ancaman kumpulan bersenjata.
Penculikan untuk mendapatkan wang tebusan menjadi antara ancaman keselamatan utama negara itu, dengan kumpulan bersenjata sering menyasarkan penduduk kampung, pengguna jalan raya dan jemaah masjid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














