JENAYAH & MAHKAMAH

Polis tahan lelaki bantu siasatan kes curi, bakar al-Quran

SEREMBAN – Polis menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Chow Kit, Kuala Lumpur semalam bagi membantu siasatan kejadian kecurian serta pembakaran naskhah al-Quran di sekitar daerah ini dan di Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam semalam dalam satu serbuan.

“Pemeriksaan dalam bilik hotel tersebut turut menemukan dua beg mengandungi 16 naskhah al-Quran serta tiga telefon bimbit dan barangan peribadi yang dipercayai milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Alzafny menambah, kesemua naskhah al-Quran yang ditemukan di dalam beg milik suspek dipercayai dibawa keluar tanpa izin daripada masjid dan surau di sekitar kawasan Chow Kit.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa naskhah tersebut diambil daripada sebuah universiti di utara berdasarkan penemuan cop hak milik universiti berkenaan,” katanya lagi.

Susuan serbuan, pemeriksaan turut dilakukan di rumah milik keluarga suspek di Senawang dan pihak polis turut merampas 36 kulit al-Quran di dalam bilik suspek.

Alzafny kemudiannya berkata, siasatan awal mendapati penemuan tersebut mempunyai kaitan dengan kes pembakaran al-Quran di tepi padang tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 295 kanun yang sama.

Lelaki berusia 25 tahun itu dipercayai suspek utama kejadian membakar naskhah al-Quran di tepi padang di Senawang, 22 Ogos lalu.

Pada hari kejadian, polis turut menerima laporan berkaitan kecurian al-Quran di sebuah masjid di Forest Height, di sini kira-kira pukul 4.45 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button