JENAYAH & MAHKAMAH

Mayat wanita warga emas reput ditemukan dalam tandas

SANDAKAN – Bau busuk dari sebuah rumah kayu dua tingkat di Tanah Merah, Jalan Leila, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang dipercayai dibunuh, Selasa lalu.

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput di dalam tandas rumah berkenaan, dengan kedua-dua tangannya diikat ke belakang manakala kepalanya ditutup menggunakan kain.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 8.10 malam mengenai bau busuk yang datang dari rumah tersebut.

Menurutnya, mangsa dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum mayatnya ditemukan.

“Siasatan mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan, termasuk dua suspek utama.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berusia antara 10 hingga 39 tahun.

George berkata, tiga daripada mereka merupakan warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan, selain kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.

“Hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.

“Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka,” katanya.

Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian selain beberapa barangan peribadi mangsa yang dipercayai dilarikan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button