Juara SUKMA 2026, Selangor isytihar cuti peristiwa 1 September
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Selasa depan, 1 September sebagai cuti peristiwa khas susulan kejayaan kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII 2026.
Amirudin berkata, cuti berkenaan diberikan sebagai tanda penghargaan kepada atlet, pegawai, sukarelawan dan ibu bapa yang menyumbang kepada kejayaan Selangor mengungguli kutipan pingat keseluruhan temasya berkenaan.
“Selaku Menteri Besar Negeri Selangor, saya tumpang gembira atas prestasi anda yang sungguh membanggakan.
“Atas prestasi yang luar biasa pada SUKMA 2026 dan sebagai tanda penghargaan kepada setiap atlet, pegawai, sukarelawan, ibu bapa yang telah membantu, saya berbesar hati mengumumkan Kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan cuti peristiwa khas pada 1 September 2026, iaitu pada hari selasa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SUKMA XXII 2026, hari ini.
Selangor muncul juara keseluruhan selepas mengungguli kutipan pingat dengan 101 emas, 73 perak dan 71 gangsa.
Pencapaian itu menyaksikan Gergasi Merah melepasi sasaran awal 80 pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Selangor tampil dominan dalam acara renang dengan 20 emas, tujuh perak dan 11 gangsa, selain masing-masing meraih lima emas dalam gimnastik artistik, muay thai dan silambam.
Kontinjen tuan rumah turut meraih empat emas dalam BMX, catur dan boling tenpin, manakala masing-masing tiga emas disumbangkan menerusi terjun, tinju, berbasikal jalan raya dan pencak silat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








