Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar terbakar, 80 peratus bangunan musnah
MELAKA – Sebuah bangunan Maahad Tahfiz Bestari Pulau Besar yang menempatkan pejabat dan stor musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pasukan bomba terpaksa menggunakan bot bagi membawa anggota dan peralatan pemadaman dari Jeti Anjung Batu ke Pulau Besar untuk menjalankan operasi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dengan bantuan BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi menggunakan bot Kevlar 08.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah bangunan berkeluasan 30 x 40 kaki yang menempatkan stor dan pejabat maahad berkenaan.
“Anggaran kemusnahan akibat kebakaran adalah kira-kira 80 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman diketuai Pegawai Bomba Kanan II Tinggi I Bukari Rajab dengan kekuatan 10 anggota.
“Operasi turut membabitkan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) serta bot Kevlar.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.20 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.25 pagi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








