Dr Solehah bukan lagi pensyarah UIAM, tidak dibenar guna gelaran
KUALA LUMPUR – Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memaklumkan Dr Solehah Yaacob tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor di universiti berkenaan atau mewakili UIAM dalam apa-apa perjawatan.
Dalam kenyataan hari ini, UIAM berkata, perkhidmatan Solehah sebagai kakitangan akademik universiti itu sudah berakhir berkuat kuasa 27 April lalu.
Menurut kenyataan itu, sebarang penggunaan gelaran, jawatan atau afiliasi rasmi dengan UIAM tidak lagi dibenarkan.
“Sehubungan itu, penggunaan sebarang gelaran, jawatan, kulliyyah, pusat, institut, jabatan atau apa-apa bentuk afiliasi rasmi dengan UIAM adalah tidak dibenarkan.
“Penggunaan gelaran atau perjawatan yang berkait dengan UIAM juga tidak dibenarkan dalam apa-apa bentuk bahan promosi, pelaporan media, penerbitan, pengiklanan, kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” menurut kenyataan itu.
UIAM berkata, penjelasan berkenaan dibuat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai mengenai status perkhidmatan dan kaitan rasmi Solehah dengan universiti itu.
“UIAM berharap penjelasan yang diberikan dapat mengelakkan kekeliruan. Demi menjaga integriti dan kesarjanaan akademia,” katanya.
November lalu, UIAM menubuhkan panel inkuiri dalaman bagi meneliti kenyataan Solehah berkaitan kapal tamadun Rom.
Sebelum itu, Solehah menerusi perkongsian video syarahan di saluran YouTube mendakwa teknik pembinaan kapal tamadun Rom pada zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu yang mencetuskan pertikaian banyak pihak.
Beliau turut mendakwa hipotesisnya berhubung sejarah teknik pembinaan kapal tamadun Rom berpaksikan sumber pembacaan Arab klasik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








