JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Singapura dipenjara, didenda RM7,000 hina Islam

JOHOR BAHRU – Seorang pengawal keselamatan warga Singapura dihukum penjara 14 hari dan denda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini kerana mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap agama Islam, bulan lalu.

Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman terhadap Mohamed Anim Atam, 56, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebut perkataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam dengan niat melukakan perasaan agama mana-mana orang, yang didengari seorang lelaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan ketika tertuduh berada dalam perjalanan dari Jalan Tun Razak hingga Jalan Meldrum, di sini kira-kira pukul 5 petang pada 30 Julai lalu, lapor Kosmo! Online.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Eizlan Azhar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kes berkenaan tular di media sosial selain membabitkan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum.

Bagaimanapun, Mohamed Anim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menghidap tekanan darah tinggi serta sedang dalam proses perceraian yang memerlukannya hadir di Mahkamah Syariah di Singapura.

Kes berkenaan mendapat perhatian selepas video memaparkan seorang warga Singapura yang didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Islam ketika menaiki kenderaan e-hailing di sekitar bandar raya ini tular di media sosial.

Susulan kejadian itu, suspek ditahan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan dengan bantuan Polis Singapura.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button