Hari Kebangsaan: Rapid KL kerah 5,000 petugas, beroperasi 24 jam pada 30, 31 Ogos
KUALA LUMPUR – Lebih 5,000 petugas barisan hadapan Rapid KL akan ditempatkan secara syif bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, 30 dan 31 Ogos ini.
Menurut Rapid KL, pada tempoh berkenaan, pihaknya turut melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel dan bas terpilih kepada 24 jam bagi memudahkan pergerakan orang ramai.
Katanya, operasi 24 jam membabitkan semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.
“Bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, kekerapan tren akan dipertingkatkan di beberapa laluan utama dan diselaraskan berdasarkan permintaan serta keadaan semasa di stesen.
“Tren tambahan juga akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang dan tahap kesesakan di platform.
“Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas dan Rapid KL On-Demand turut beroperasi selama 24 jam, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada orang ramai sepanjang tempoh sambutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rapid KL lagi, bagi menyokong pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma membabitkan 103 bas.
“Laluan bas yang terbabit adalah dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 pada 2 petang (30 Ogos) hingga 2 petang (31 Ogos).
“Selain itu, bas perantara percuma turut disediakan bagi laluan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 bermula 4 pagi hingga 2 petang (31 Ogos),” katanya.
Dalam pada itu, Rapid KL berkata, lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditempatkan pada 30 dan 31 Ogos mengikut syif.
Katanya, penempatan itu bertujuan menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan lokasi tumpuan berjalan lancar dan selamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








