Malaysia kecam projek penempatan E1 Israel, ancam pembentukan negara Palestin
KUALA LUMPUR – Pembinaan penempatan E1 di timur Baitulmuqaddis akan memisahkan Tebing Barat sekali gus menjejaskan prospek pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, beliau mengutuk sekeras-kerasnya keputusan rejim Israel mengeluarkan tender pembinaan bagi projek penempatan E1 itu.
Menurutnya, kawasan tanah di timur Baitulmuqaddis berkenaan sejak sekian lama menjadi kawasan penting bagi kelangsungan sebuah negara Palestin.
“Pembinaan di kawasan itu akan memisahkan Tebing Barat dan menjejaskan prospek pembentukan tanah air Palestin yang bersambung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki adalah tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa, namun Israel terus bertindak tanpa menghiraukan kecaman serta pendirian masyarakat antarabangsa.
“Keputusan ini dibuat ketika keganasan peneroka terhadap orang awam Palestin di Tebing Barat berada pada tahap belum pernah berlaku sebelum ini dan pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Gaza.
“Keputusan ini menunjukkan rejim Israel sekadar berpura-pura untuk mencari keamanan atau menghormati kehendak masyarakat antarabangsa,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia kekal teguh bersama rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk memiliki sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju dan merdeka.
Beliau berkata, Malaysia akan mengambil perhatian terhadap mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk menyertai tender projek berkenaan dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dan hak mereka yang tidak boleh dinafikan untuk sebuah negara Palestin yang berdaulat, berdaya maju, bersambung dan merdeka.
“Malaysia akan meneliti dengan teliti mana-mana syarikat antarabangsa yang memilih untuk menyertai tender ini dan akan bertindak sewajarnya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








