Dasar Satu China bukan pendirian baharu Malaysia – PM
KUALA LUMPUR – Pendirian Malaysia terhadap prinsip “Dasar Satu China” bukan sesuatu yang baharu, malah sudah menjadi dasar negara sejak pentadbiran Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian berkenaan kekal menjadi dasar Malaysia dan selari dengan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap China sebagai sebuah negara.
Menurut beliau, kenyataannya berhubung Taiwan dibuat berdasarkan pendirian Malaysia terhadap prinsip integriti wilayah sesebuah negara, selain menegaskan bahawa penyelesaian secara aman perlu terus menjadi keutamaan.
“Dasar Satu China itu sejak Almarhum Tun Abdul Razak Hussein. Jadi, saya berpendapat dasar itu kekal, kita utamakan. Tentunya pendirian Malaysia kita cari jalan damai.
“Amerika sejak ratusan tahun dulu bila ada Perang kemerdekaan, dia tak izinkan perpecahan mana-mana negara pun. Jadi oleh itu, saya hanya ikut yang konsisten.
“Sebab itu kalau tengok dalam peta negara, China itu hanya satu. Yang satu lagi tu diletakkan entiti Taiwan begitu sahaja. Jadi tidak ada pengiktirafan, jadi bukan perkara baharu,” katanya memetik laporan RTM.
Beliau berkata, Malaysia menghormati pendirian China dalam isu berkenaan, namun pada masa sama menyokong usaha mencari penyelesaian antara kedua-dua pihak.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas reaksi negatif daripada pihak Taiwan susulan kenyataannya dalam satu wawancara bersama media antarabangsa, Al Jazeera, baru-baru ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








