KPM beri kerjasama penuh siasatan kematian pelajar, siasatan dalaman turut dijalankan – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan kes kematian seorang pelajar di kediamannya baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada masa sama KPM turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti setiap aspek berkaitan kejadian itu, termasuk kemungkinan wujud unsur salah laku buli.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) akan menempatkan sementara beberapa individu yang terlibat sebagai saksi utama kes di pejabat pendidikan daerah sehingga proses siasatan selesai.
“Berita pemergian seorang anakanda kami di kediamannya baru-baru ini sangat mengejutkan. Kami berdukacita dan menyampaikan salam takziah kepada seluruh anggota keluarga,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Fadhlina, keutamaan KPM ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik diberikan kepada keluarga mangsa serta warga sekolah yang terkesan.
Katanya, program sokongan psikososial turut sedang dilaksanakan bagi membantu keluarga dan warga sekolah berdepan situasi berkenaan.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu dan menghormati privasi keluarga sepanjang proses siasatan berlangsung.
“Semoga keluarga terus diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








