BERITA SEMASA

Nuklear Malaysia perkasa penulisan saintifik, hasil lebih 500 penerbitan setahun

IPOH – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) menghasilkan lebih 500 penerbitan ilmiah setiap tahun sebagai usaha memperluas penyebaran hasil penyelidikan dan memastikan manfaatnya dapat dikongsi dengan masyarakat serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata, penerbitan saintifik berkualiti penting bagi memastikan hasil penyelidikan tidak terhenti di peringkat makmal atau institusi, sebaliknya dapat dikongsi, difahami dan dimanfaatkan pelbagai pihak.

“Penerbitan berimpak tinggi adalah cerminan kepada hasil penyelidikan dan kesannya dalam menyelesaikan masalah, memberi manfaat kepada masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026 di Hotel Travelodge Ipoh, di sini hari ini.

nuklear
Dr Muhammad Rawi bersama Ketua Editor Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, DBP, Dr Rosmani Omar (tengah) dan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof Dr Abrizah Abdullah melawat reruai Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026.

Program bertemakan Penerbitan Berimpak Tinggi Teras Perkembangan Ilmu itu dianjurkan bagi memperkukuh kemahiran golongan profesional dan teknikal dalam menghasilkan penulisan ilmiah yang berkualiti, berintegriti serta memenuhi keperluan penerbitan saintifik semasa.

Menurut Nuklear Malaysia, penerbitan ilmiah yang dihasilkan agensi itu setiap tahun merangkumi jurnal antarabangsa, prosiding persidangan, buku ilmiah, laporan teknikal serta artikel popular dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Dalam pada itu, perkembangan Kecerdasan Buatan (AI), analisis data dan penerbitan akses terbuka turut diberi perhatian dalam seminar berkenaan.

Nuklear Malaysia berkata, perkembangan tersebut membuka peluang untuk mempercepatkan proses penulisan dan penyebaran ilmu, namun pada masa sama memerlukan pemahaman kukuh berkaitan integriti akademik, ketepatan data, plagiarisme, etika penggunaan AI dan hak cipta.

Program itu turut menekankan kepentingan memperkukuh penerbitan bahan ilmiah dalam bahasa Melayu menerusi kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

nuklear
Sesi bergambar kumpulan bersama para peserta Seminar dan Bengkel Penulisan dan Penerbitan Saintifik 2026 yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, penerbit serta pemain industri.

Kerjasama itu antaranya dilaksanakan melalui segmen Nuklear Untuk Rakyat dalam Majalah Dewan Kosmik, selain penerbitan buku dan ensiklopedia serta usaha memperkaya pengistilahan sains dalam bahasa Melayu.

Seminar dan bengkel itu turut mendapat sokongan DBP, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), PTS Media Group, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan MajalahSains.com.

Nuklear Malaysia berkata, penglibatan pelbagai institusi akademik, agensi kerajaan, penerbit dan pemain industri penting bagi menggabungkan kepakaran dalam bidang sains, teknologi, bahasa dan penerbitan.

Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Nuklear Untuk Rakyat (N.U.R.) di bawah Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi serta memberi nilai tambah kepada masyarakat dan pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button