BERITA SEMASA

Ulama, agamawan akan bantu masyarakat fahami dapatan RCI Tabung Haji di masjid, sekolah, jabatan kerajaan dan universiti – Mujahid

AMPANG – Lebih 100 alim ulama dan agamawan dari seluruh negara berhimpun hari ini dalam Persidangan Khas Ulama & Agamawan: Hifz al-Mal bagi bermuzakarah mengenai isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji serta amanah menjaga simpanan 9.7 juta pendeposit yang majoritinya umat Islam.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, persidangan yang berlangsung di De Palma Hotel, Ampang itu digerakkan oleh Sekretariat Ulama Malaysia bersama Mursyid al-’Am Majlis Ulama Malaysia, Abdul Rahim Abdul Rahman.

“Menariknya, persidangan ini bukan hanya menghimpunkan agamawan. Ia turut melibatkan panel daripada pelbagai latar belakang profesional dan keilmuan termasuk akauntan bertauliah, pengulas ekonomi, pengamal undang-undang, asatizah serta ulama pondok.

“Gabungan kepakaran ini membolehkan isu RCI Tabung Haji dibincangkan secara lebih menyeluruh, merangkumi aspek agama, kewangan, ekonomi, perakaunan, perundangan, tadbir urus serta amanah dalam menjaga harta umat,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, antara pengisian utama ialah sesi “Merungkai RCI Tabung Haji” yang membincangkan dapatan berkaitan RCI dari sudut profesional, diikuti sesi “RCI Tabung Haji Kebangkitan Ummah dan Ulama” yang memberi tumpuan kepada peranan agamawan dan masyarakat dalam memahami serta mempertahankan amanah umat.

Katanya, prinsip Hifz al-Mal, iaitu menjaga dan melindungi harta, menjadi asas penting persidangan ini.

“Dalam konteks Tabung Haji, ia membawa tanggungjawab besar kerana institusi tersebut menguruskan simpanan jutaan umat Islam untuk menunaikan ibadah haji,” katanya m

Sementara itu katanya, selepas persidangan itu, gerakan penerangan dirancang untuk diperluaskan ke seluruh negara.

Katanya, para alim ulama dan agamawan akan membantu masyarakat memahami dapatan RCI Tabung Haji melalui masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan, kolej, universiti serta ruang pendidikan masyarakat.

“Matlamatnya jelas fakta mesti diterangkan, amanah mesti dipertahankan dan penyelewengan terhadap harta umat tidak boleh dibiarkan berulang. Tabung Haji adalah amanah umat. Menjaganya adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button