BERITA SEMASAPMX

Prestasi KDNK bukti reformasi Ekonomi MADANI lindungi rakyat – PM

PUTRAJAYA – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus yang dicatat pada suku kedua 2026 (S2 2026) membuktikan reformasi kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI membantu memperkukuh daya tahan ekonomi negara ketika berdepan gangguan rantaian bekalan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejutan ekonomi susulan krisis Asia Barat telah menjejaskan rantaian bekalan dan ekonomi dunia, namun kerajaan mengambil langkah segera bagi melindungi rakyat serta sektor perniagaan.

Katanya, antara langkah yang dilaksanakan termasuk menyediakan pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas serta mengekalkan subsidi bahan api secara bersasar bagi mengurangkan kesan kejutan ekonomi luaran.

“Ikhtiar ini membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, merancakkan kegiatan perniagaan serta mempertahankan momentum pertumbuhan pada S2 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia mencatat pertumbuhan KDNK 6.0 peratus pada S2 2026, meningkat berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya dan mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.

Prestasi itu merupakan pertumbuhan paling kukuh bagi suku kedua di luar tempoh pandemik sejak 2014, sekali gus menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2026 sebanyak 5.7 peratus.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pencapaian tersebut meletakkan ekonomi negara pada landasan kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan kerajaan antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi keseluruhan 2026.

Menurut beliau, penggunaan swasta berkembang 4.8 peratus, didorong peningkatan perbelanjaan di restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman susulan musim perayaan, cuti sekolah pertengahan tahun dan aktiviti pelancongan yang berterusan.

Katanya, pelaburan swasta dan awam turut mencatat pertumbuhan berterusan, disokong pelaburan dalam sektor teknologi serta pelaksanaan projek infrastruktur utama di seluruh negara.

“Inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada S2 2026.

“Pada masa sama, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bersasar menerusi Budi MADANI terus disalurkan bagi mengurangkan beban rakyat, khususnya golongan yang paling terkesan dek kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Dalam pada itu, pasaran buruh terus menyokong permintaan domestik apabila guna tenaga meningkat 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang, manakala kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus.

Anwar berkata, sektor luar negara turut mencatat prestasi kukuh, disokong permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum.

Jumlah dagangan meningkat 34.1 peratus kepada RM1 trilion pada suku berkenaan, manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion.

Aktiviti perindustrian juga mengukuh dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 7.7 peratus pada S2 2026, disokong pertumbuhan pengeluaran dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan tidak akan berpuas hati dengan pencapaian angka pertumbuhan semata-mata kerana manfaat ekonomi perlu dirasai secara lebih menyeluruh oleh rakyat dan sektor perniagaan.

“Meneruskan agenda reformasi demi memperkukuh pertumbuhan mampan walaupun momentum pertumbuhan Malaysia kekal berdaya tahan, namun Kerajaan MADANI sentiasa menyedari bahawa limpahan manfaat daripada pertumbuhan ekonomi ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata masih ramai rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, manakala sebahagian pekerja dan perniagaan turut melalui keadaan yang mencabar.

“Hatta, Kerajaan MADANI bukan sekadar mengejar angka pertumbuhan yang tinggi. Kekayaan dan kemajuan negara mesti dimanfaatkan untuk mengangkat harkat rakyat melalui pendapatan yang lebih bermakna, peluang pekerjaan yang bermutu serta bantuan kepada golongan rentan.

“Inilah ikhtiar yang akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI,” tambah beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button