Ringgit kekal stabil, pertumbuhan kredit swasta meningkat 6.4 peratus – BNM
KUALA LUMPUR – Ringgit kekal stabil secara amnya berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku kedua 2026, meskipun pasaran kewangan global terus berubah susulan peralihan jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Amerika Syarikat (AS).
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit mencatatkan -0.8 peratus pada suku kedua 2026 berbanding 1.4 peratus pada suku pertama.
“Bagi tempoh awal tahun ini hingga 12 Ogos 2026, ringgit terus mencatatkan prestasi yang stabil secara amnya berbanding dolar AS (-0.9 peratus) serta mata wang rakan dagangan utama yang lain dengan NEER pada -1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
NEER mengukur pergerakan ringgit berbanding sekumpulan mata wang rakan dagangan utama.
BNM berkata, ringgit terus disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh serta momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif.
Menurutnya, walaupun faktor luaran dijangka terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pelaksanaan pembaharuan struktur berterusan dijangka terus memberi sokongan kepada ringgit.

Dalam perkembangan berkaitan, pertumbuhan kredit sektor swasta terus meningkat pada suku kedua 2026, didorong peningkatan bon korporat dan pinjaman perniagaan terkumpul.
BNM berkata, kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang 6.4 peratus pada suku kedua berbanding 5.6 peratus pada suku pertama.
“Bon korporat terkumpul pula berkembang sebanyak 8.1 peratus daripada 5.9 peratus pada suku pertama 2026.
“Ini mencerminkan penerbitan bon yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor utiliti dan bagi tujuan modal kerja,” katanya.
Pinjaman perniagaan terkumpul turut meningkat 7.2 peratus pada suku kedua berbanding 5.7 peratus pada suku pertama, didorong pinjaman bagi tujuan modal kerja dan berkaitan pelaburan.
Mengikut segmen, pertumbuhan itu terutama didorong pinjaman kepada perusahaan bukan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, pertumbuhan pinjaman kepada PKS mencatatkan 4.2 peratus berbanding 5.2 peratus pada suku pertama, susulan permintaan berterusan terhadap pembiayaan modal kerja.
Bagi isi rumah pula, pinjaman berkembang 5.3 peratus berbanding 5.4 peratus pada suku pertama, disokong pertumbuhan pinjaman pembelian rumah yang stabil.
BNM berkata, institusi kewangan terus menyediakan sokongan kepada PKS yang menghadapi masalah kewangan sementara, termasuk bantuan bayaran balik, penstrukturan semula pembiayaan dan khidmat nasihat mengikut keadaan peminjam.
PKS yang terjejas turut boleh mendapatkan bantuan menerusi Skim Penyelesaian Hutang Kecil yang dikendalikan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Selain itu, bantuan bersasar disediakan kepada PKS berdaya maju yang terjejas akibat gangguan susulan konflik di Asia Barat menerusi Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS.
Setakat 7 Ogos 2026, BNM berkata pembiayaan berjumlah RM2.8 bilion telah diluluskan, memberi manfaat kepada lebih 4,900 akaun PKS.
PKS juga boleh memanfaatkan Skim Jaminan BNM-CGC berjumlah RM10 bilion bagi memperkukuh daya tahan serta meningkatkan daya saing mereka pada masa hadapan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







