BERITA SEMASA

Ringgit susut berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan pengukuhan mata wang negara itu yang didorong data ekonomi AS yang lebih memberangsangkan.

Pada pukul 8 pagi, ringgit menyusut kepada 3.9540/9650 berbanding dolar AS daripada 3.9440/9500 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Pengukuhan dolar AS didorong data terbaharu Institut Pengurusan Bekalan (ISM) yang menunjukkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) sektor pembuatan AS meningkat kepada 52.6 pada Januari berbanding 47.9 pada Disember 2025.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) melonjak susulan bacaan ISM yang lebih tinggi, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan dalam kalangan syarikat AS.

“Walaupun tinjauan menunjukkan masih terdapat elemen pesimisme, data tersebut menggambarkan sentimen optimis dalam sektor pembuatan.

“Sehubungan itu, ringgit berpotensi mencatatkan trajektori rendah hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan mengukuh berbanding euro kepada 4.6649/6779 daripada 4.6957/7029 ketika ditutup pada Jumaat lalu, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5426/5498 daripada 2.5562/5603 serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4059/4209 daripada 5.4163/4245.

Namun, ringgit dibuka rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1092/1184 daripada 3.1077/1127, melemah berbanding baht Thailand kepada 12.5488/5941 daripada 12.5250/5544 dan turun berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.73 daripada 6.69/6.71.

Mata wang tempatan turut rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 235.3/236.1 daripada 234.9/235.4 pada Jumaat lalu.

Pasaran kewangan tempatan ditutup semalam bersempena cuti umum Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button