Nurul Izzah mahu teruskan perjuangan politik menerusi masyarakat sivil
AYER KEROH – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata beliau akan meneruskan perjuangan politik menerusi masyarakat sivil dan tidak lagi secara langsung melalui parti.
Beliau berkata, beliau tidak akan mampu memuaskan hati semua orang termasuk pihak yang tidak dapat menerima kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022, kemenangan partinya pada pilihan raya 2025 dan keputusan beliau untuk berundur daripada parti.
“Anda tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi anda hanya boleh kekal jujur kepada diri sendiri.
“Saya memilih untuk meneruskan perjuangan, bukan secara langsung melalui parti, tetapi melalui jalan masyarakat sivil,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Kongres Nasional Wanita PKR 2026, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.
Nurul Izzah sebelum ini menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai timbalan presiden, namun Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan untuk tidak menerima peletakan jawatannya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dipetik sebagai berkata, Nurul Izzah membuat keputusan sedemikian bagi menguruskan urusan peribadi selain menyelesaikan dan meneruskan pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Sementara itu, dalam ucapannya, Nurul Izzah turut mengingatkan pemimpin parti supaya menjunjung semangat dan idealisme reformasi dalam setiap keputusan serta tindakan, khususnya ketika mereka memegang kuasa.
“Walaupun kita mempunyai kelemahan, kita mesti melakukan segala yang termampu untuk mengelak daripada menjadi seperti perkara yang pernah kita benci pada pihak lawan. Kita mesti sentiasa berwaspada.
“Apabila anda mempunyai kuasa, tanyalah diri sendiri, adakah saya melakukan semua ini untuk diri sendiri atau untuk negara?” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








