Jerebu: KKM nasihat orang ramai kurangkan aktiviti luar, pantau kesihatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak dan Selangor.
Menurut KKM, bacaan melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada jam 9 pagi semalam menunjukkan 10 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat, iaitu antara 101 hingga 200.
Daripada jumlah itu katanya, sembilan kawasan terjejas berada di Sarawak membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Samarahan, Kuching, Bintulu, Samalaju, Mukah, Sibu, Sarikei dan Sri Aman, manakala satu lagi ialah Johan Setia di Selangor.
“Setakat ini tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.
“Bagaimanapun, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan sebanyak 19 kawasan di negeri itu berpotensi tinggi terjejas sekiranya aktiviti pembakaran terbuka berterusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, orang ramai khususnya di kawasan terjejas dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal dan lasak di luar bangunan, terutama apabila bacaan IPU melebihi 100.
Pada masa sama, KKM turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan masa berada di luar bangunan dan menggunakan pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu keluar.
“Tingkap dan pintu juga disaran ditutup bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar ke dalam bangunan,” katanya.
Selain itu katanya, orang ramai digalakkan menggunakan mod kitaran semula udara dalaman pada penyaman udara ketika memandu dan, jika berkemampuan, menggunakan alat penapis udara di rumah.
Katanya, orang ramai juga dinasihatkan minum air secukupnya serta memberi perhatian dan perlindungan khusus kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit kronik dengan mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Mengulas lanjut, KKM turut mengingatkan supaya rawatan segera diperoleh sekiranya mengalami sesak nafas, batuk berpanjangan atau gejala lain yang semakin teruk.

Dalam pada itu katanya, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak swasta disaran sentiasa memantau bacaan IPU semasa serta menyesuaikan aktiviti luar mengikut tahap kualiti udara.
“Aktiviti sukan, kokurikulum dan aktiviti fizikal lasak di luar bangunan disarankan ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 100,” katanya.
Sementara itu, KKM turut menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.
Bagi memastikan kesiapsiagaan kesihatan, KKM berkata pihaknya telah memperkukuh survelan penyakit berkaitan jerebu di fasiliti kesihatan bagi memantau sebarang peningkatan kes serta mengesan perubahan trend penyakit.
Kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan dan anggota kesihatan turut dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan sewajarnya.
KKM juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri untuk memantau perkembangan situasi dan menyelaras tindakan bagi mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam.
Maklumat lanjut mengenai jerebu dan langkah pencegahan boleh diperoleh melalui portal rasmi KKM dan portal Info Sihat KKM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








