POLITIK

BERSAMA catat 29,200 ahli, 25 peratus bekas anggota PKR – Rafizi

PUCHONG – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) kini mempunyai kira-kira 29,200 ahli selepas hampir tiga bulan dilancarkan, dengan 25 peratus daripadanya merupakan bekas anggota PKR, kata pengasasnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendakwa peningkatan mendadak keahlian parti berkenaan turut dipengaruhi perkembangan politik selepas kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan awal bulan ini.

Menurutnya, kira-kira 15 peratus lagi ahli BERSAMA terdiri daripada bekas anggota parti politik lain termasuk UMNO, PAS dan BERSATU, manakala 60 peratus tidak pernah menyertai mana-mana parti politik sebelum ini.

“Bekas ahli DAP pula tidak sampai satu peratus,” katanya seperti dilaporkan BH Onlin dari sidang media di Ibu Pejabat BERSAMA, di sini hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri pengasas bersama BERSAMA, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen PKR Subang, Wong Chen.

Related Articles

Rafizi berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan sokongan terhadap BERSAMA bukan hanya datang daripada bekas anggota PKR, sebaliknya turut mendapat perhatian individu yang sebelum ini tidak mempunyai latar belakang kepartian.

Beliau berkata, BERSAMA menyasarkan jumlah keahlian melepasi 30,000 orang menjelang hujung minggu ini, susulan pertambahan kira-kira 500 ahli baharu setiap hari.

“Momentum ini perlu dikekalkan menerusi kempen keahlian yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, BERSAMA memerlukan masa untuk meminda perlembagaan parti sebelum proses pemilihan kepimpinan dapat dilaksanakan.

Katanya, parti itu juga sedang memperluaskan struktur serta operasinya bagi memastikan pengurusan parti dapat dijalankan dengan lebih tersusun.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada Nik Nazmi dan saya. Sebab itu kita sudah mempunyai tujuh jurucakap bagi memperkukuhkan perjalanan dan urusan parti.

“Mereka bukan hanya bercakap kepada media atau orang ramai, tetapi yang paling penting ialah menyampaikan maklumat dan pendirian kepada ahli BERSAMA bagi pihak pengurusan dan parti,” katanya.

Terdahulu, Rafizi mengumumkan tujuh individu yang dilantik sebagai jurucakap BERSAMA, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button