ADUN Permatang gesa perkasa sektor agromakanan, agro-pelancongan di utara Selangor
SHAH ALAM – Kerajaan Selangor digesa memberi kedudukan lebih strategik kepada sektor agromakanan dan agro-pelancongan sebagai antara pemacu ekonomi negeri, khususnya di kawasan utara Selangor.
ADUN Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, kawasan utara Selangor mempunyai kekuatan tersendiri melalui sektor pertanian, sawah padi, perikanan, industri asas tani serta kampung tradisional yang berpotensi dikembangkan sebagai tarikan pelancongan.
Menurutnya, sektor berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti tradisional semata-mata kerana pertanian kini turut menggunakan teknologi moden seperti dron, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), automasi, analitik data, teknologi benih dan sistem pengairan pintar.
“Kami mungkin tidak mempunyai hab aeroangkasa. Kami mungkin tidak mempunyai pusat reka bentuk cip semikonduktor.
“Tetapi kami mempunyai sesuatu yang jauh lebih penting. Kami menghasilkan makanan,” katanya ketika membahaskan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026-2030 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Nurul Syazwani berkata, jika sektor elektrik dan elektronik mampu membangunkan rantaian nilai yang lengkap, sektor agromakanan juga wajar diberikan ekosistem pembangunan yang sama.
Dalam pada itu, beliau berkata, agro-pelancongan merupakan antara peluang terbaik untuk meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar, khususnya pengusaha homestay dan peniaga tempatan.
Katanya, kawasan utara Selangor sudah mempunyai pelbagai aset pelancongan seperti sawah padi, sungai, makanan tradisional dan kampung yang berpotensi menarik pelancong.
Malah, katanya, kerajaan negeri sendiri telah mengiktiraf Koridor Agro-Pelancongan Utara sebagai antara kawasan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan.
Bagaimanapun, beliau membangkitkan masalah birokrasi yang masih dihadapi pengusaha homestay termasuk berkaitan lesen, status tanah, syarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan prosedur yang dianggap rumit.
“Jangan gunakan acuan bandar untuk mengawal ekonomi kampung. Rumah kampung yang mempunyai empat bilik tidak boleh disamakan dengan hotel bertingkat.
“Agro-stay tidak boleh dinilai menggunakan piawaian yang sama seperti pembangunan komersial di bandar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mewujudkan sistem peraturan yang lebih praktikal, selamat dan mudah dipatuhi bagi membantu pengusaha agro-pelancongan berkembang secara sah.
Menurutnya, pembangunan agro-pelancongan perlu memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati secara langsung oleh masyarakat setempat.
“Kita tidak mahu pelancong datang ke Tanjong Karang sekadar singgah mengambil gambar sawah sebelum pulang.
“Kita mahu mereka menginap di homestay yang berlesen, makan di restoran tempatan yang berlesen, membeli hasil tani dari kedai yang berlesen dan menggunakan khidmat penduduk kampung.
“Supaya setiap ringgit yang dibelanjakan akan terus beredar dalam ekonomi masyarakat setempat dan peniaga dapat berniaga dalam keadaan yang tenang dan aman tanpa rasa takut disaman,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






