LUAR NEGARA

Individu cetus kekecohan dalam pesawat ke Bangkok disahkan anggota tentera

BANGKOK – Kementerian Pertahanan Thailand mengesahkan lelaki yang mencetuskan kekecohan dalam sebuah penerbangan dari Malaysia ke Bangkok baru-baru ini merupakan seorang pegawai berpangkat leftenan dalam angkatan Tentera Diraja Thailand.

Jurucakap kementerian itu, Laksamana Muda Surasant Kongsiri berkata, individu yang bertindak di luar kawal itu dipercayai mengalami gangguan mental ketika dalam penerbangan dan mempunyai rekod masalah berkaitan psikiatri.

“Keadaan kesihatan pegawai terbabit kembali terganggu ketika dalam penerbangan, menyebabkan dia bertindak di luar kawalan.

“Pegawai itu bertugas di Pejabat Dasar dan Perancangan Kementerian Pertahanan dan sebelum ini menerima rawatan bagi masalah berkenaan psikiatri,” katanya memetik Bangkok Post.

Kejadian itu tular selepas video dirakam penumpang menunjukkan seorang lelaki berbaju putih yang berdiri di lorong pesawat sambil berulang kali menjerit meminta pesawat mendarat.

Menurut laporan, pegawai terbabit turut dipercayai cuba membuka pintu keluar pesawat sebelum ditahan dua kru kabin lelaki dan penumpang sebelum ditenteramkan di tempat duduknya.

Dia bagaimanapun terus menjerit dan mengeluarkan kata-kata tidak senonoh sepanjang kejadian.

Surasant berkata, selepas pesawat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang, Bangkok, pegawai berkenaan segera dibawa ke Hospital Phramongkutklao untuk menjalani pemerhatian dan mendapatkan rawatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button