BERITA SEMASA

Pegawai, anggota KPK diseru turun padang, fahami realiti pekebun kecil

PUTRAJAYA – Pegawai dan anggota Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) diseru mengutamakan pendekatan turun padang bagi memastikan dasar yang dirangka benar-benar mengambil kira realiti kehidupan pekebun kecil agrikomoditi di seluruh negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, dasar berkaitan sektor agrikomoditi tidak boleh hanya dirangka dari meja pejabat, sebaliknya perlu turun padang melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar suara rakyat dan berkomunikasi secara langsung dengan mereka yang menerima kesan daripada dasar berkenaan.

“Kita perlu melihat. Kita perlu mendengar. Dan kita perlu bercakap terus dengan rakyat yang menerima kesan daripada dasar yang kita buat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan KPK, di sini hari ini.

Noraini menambah, pendekatan sedemikian penting kerana lebih 600,000 pekebun kecil persendirian agrikomoditi direkodkan di seluruh negara setakat Mac 2026, melibatkan antaranya pekebun dan penoreh getah serta pengusaha sawit, koko dan lada.

“Di sebalik jumlah itu ada kehidupan sebenar. Mereka ialah keluarga yang bergantung kepada sektor ini untuk menyara kehidupan, membiayai pendidikan anak, mengurus kebun serta menanggung kos baja, racun, pengangkutan dan keperluan harian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap usaha yang dilaksanakan KPK perlu dibuat dengan bersungguh-sungguh kerana sebarang dasar berkaitan eksport, teknologi dan pasaran dunia akhirnya turut memberi kesan kepada golongan yang berada di hujung rantaian sektor agrikomoditi.

Beliau berkata, suara dan keperluan pekebun kecil perlu sentiasa menjadi pertimbangan dalam usaha memastikan pembangunan sektor agrikomoditi turut membawa manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button