LUAR NEGARA

Dua maut, 13 cedera dalam letupan van di Damsyik

DAMSYIK – Sekurang-kurangnya dua maut manakala 13 lagi cedera selepas alat letupan meletup di dalam sebuah van penumpang di bandar Jaramana, pinggir Damsyik, pada Khamis.

Media kerajaan Syria, Al-Ikhbariya TV, melaporkan letupan itu dipercayai berpunca daripada alat letupan yang dipasang di dalam kenderaan berkenaan namun butiran lanjut mengenai kejadian masih belum didedahkan.

Setakat ini, Kementerian Dalam Negeri Syria dan pihak berkuasa keselamatan belum mengeluarkan kenyataan rasmi dan tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Agensi berita negara, SANA, yang memetik Direktorat Rujukan, Ambulans dan Kecemasan Kementerian Kesihatan, mengesahkan dua mangsa terbunuh dan 13 lagi cedera dalam insiden tersebut.

Pengarah direktorat berkenaan, Najib al-Naasan berkata, pasukan forensik sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian, termasuk menguruskan sisa mayat manusia yang ditemukan mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata, hospital dan unit kecemasan berhampiran turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, manakala ambulans serta pasukan perubatan digerakkan bagi membawa mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Rakaman gambar dan video yang tular di media sosial menunjukkan van penumpang berkenaan mengalami kerosakan teruk dengan serpihan kenderaan bertaburan di atas jalan dan di hadapan beberapa bangunan kediaman berhampiran.

Insiden itu berlaku di Jaramana, sebuah bandar yang didiami masyarakat pelbagai etnik, hanya beberapa jam selepas pemimpin masyarakat dan tokoh agama tempatan mengeluarkan kenyataan bersama yang menegaskan komitmen terhadap perpaduan Syria serta menolak sebarang tindakan yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button