BERITA SEMASA

Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di universiti swasta

KUALA LUMPUR – Empat pelajar antara sembilan individu yang cedera, termasuk beberapa dilaporkan parah, dalam kejadian letupan kompresor pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Damansara, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas pada kompresor sistem pendingin hawa yang sedang diselenggara ketika kejadian berlaku.

“Pihak polis menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti berkenaan.

“Daripada sembilan mangsa yang terlibat, dua merupakan pekerja kontraktor, seorang kakitangan pengurusan universiti, dua pekerja kafeteria warga asing dan empat pelajar,” memetik BH online.

Beliau berkata, keadaan tidak begitu sesak ketika insiden berlaku kerana kebanyakan pelajar masih bercuti.

Dalam pada itu, pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar selamat.

“Setakat ini kawasan berkenaan disahkan selamat, namun pemeriksaan lanjut tetap diteruskan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan letupan susulan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Fadil memaklumkan, kerja-kerja pembaikan sistem pendingin hawa sedang dijalankan oleh juruteknik yang dilantik pihak pengurusan universiti ketika letupan berlaku.

“Ada mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dan ada juga yang cedera akibat terkena serpihan letupan yang kuat.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah terlibat dalam kejadian ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button