Op Crack: Lima lagi pegawai Imigresen ditahan disyaki terlibat godam MyIMMs
KUALA LUMPUR – Lima lagi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan Op Crack berhubung dakwaan bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Lima pegawai berkenaan terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun yang ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, semalam.
Penahanan terbaru itu menjadikan jumlah pegawai Imigresen yang ditahan dalam operasi berkenaan meningkat kepada 11 orang setakat ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
“Mereka ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009,” memetik Buletin TV3 online.
Siasatan awal mendapati kelima-lima pegawai berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan menggodam MyIMMs bagi memastikan proses permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
SPRM turut menyita lima telefon bimbit milik suspek bagi membantu siasatan.
Sementara itu, sumber memaklumkan seramai 17 individu telah dipanggil memberi keterangan setakat ini, manakala sembilan akaun bank turut dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM300,000.
Sebelum itu, SPRM menahan enam individu termasuk dua pegawai daripada Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen dalam Op Crack yang dijalankan bagi menyiasat sindiket penggodaman sistem berkenaan.
Sindiket itu dipercayai memanipulasi sistem dengan menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi sebelum mengeluarkan sebanyak 1,306 PLKS yang didakwa tidak sah.
Tindakan tersebut dipercayai menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM2.4 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Imigresen sebelum ini memaklumkan akan membatalkan semua PLKS yang dikenal pasti diluluskan secara tidak teratur serta mengesan pemegang pas terbabit untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















