JENAYAH & MAHKAMAH

PGA rampas kayu, jentera bernilai lebih RM2.3 juta, lima ditahan

KUALA KRAI – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 17,000 batang kayu pelbagai spesies bersama jentera berat dan peralatan pemprosesan kayu bernilai lebih RM2.3 juta dalam serbuan di sebuah kilang kayu di Kampung Sungai Embak di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, lima lelaki termasuk pemilik premis berusia antara 31 hingga 62 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan menerusi Op Bersepadu Khazanah dengan kerjasama Pejabat Perhutanan.

Menurut beliau, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki sedang mengendalikan jentera berat manakala empat lagi pekerja sedang memotong kayu di dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis kayu yang dipercayai tidak bercukai walaupun kilang tersebut memiliki lesen operasi yang sah sehingga Disember tahun ini.

“Semakan lanjut oleh Cawangan Unit Berasaskan Kayu (IBK) Jabatan Perhutanan Machang mengesahkan kayu yang berada di kawasan kilang dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merampas hampir 17,000 batang kayu pelbagai saiz dan spesies, dua jentera berat serta beberapa mesin pemotong kayu dengan nilai keseluruhan rampasan melebihi RM2.3 juta.

“Pemilik premis bersama empat pekerja ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya lagi.

Menurut Ahmad Radzi, hasil siasatan awal mendapati kilang tersebut mula beroperasi sejak April lalu.

“Pemilik premis mendakwa bekalan kayu yang diproses diperoleh daripada penduduk setempat. Bagaimanapun, status kayu yang dipercayai tidak bercukai menimbulkan syak bahawa sumber bekalan diperoleh secara tidak sah.

“Kayu yang telah diproses kemudiannya diedarkan ke beberapa kilang pembuatan palet kayu di sekitar Kelantan sebagai bahan mentah untuk penghasilan palet dan produk berasaskan kayu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pengedaran dibuat secara berperingkat mengikut permintaan pelanggan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan sektor perindustrian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button