BERITA SEMASA

Fadhlina rayu hormati privasi keluarga guru, utamakan kesihatan mental warga pendidik

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menggesa semua pihak menghormati privasi keluarga seorang guru yang terbabit dalam satu insiden di Selangor serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara siasatan polis masih dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya memahami kegusaran warga pendidik dan masyarakat berhubung insiden berkenaan, sambil menegaskan isu kesihatan mental dalam kalangan guru amat dekat di hatinya.

fadhlina
Gambar yang dimuat naik Fadhlina ketika bergelar aktivis kesihatan mental di Facebook.

“Isu ini sangat dekat di hati saya. Apatah lagi, saya sendiri memulakan perjalanan dalam politik sebagai seorang aktivis kesihatan mental.

“Buat masa ini, saya merayu agar kita semua menghormati privasi keluarga dan mengelakkan sebarang spekulasi.

“Berilah ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara teliti agar punca sebenar insiden ini dapat dikenal pasti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata, sepanjang siasatan dijalankan, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menggerakkan pelbagai usaha bagi memastikan sokongan psikososial kepada warga sekolah berada pada tahap terbaik.

Beliau turut menyeru semua guru supaya saling mengambil berat terhadap rakan sekerja dengan bertanya khabar, meluangkan masa mendengar dan memastikan mereka berada dalam keadaan yang baik.

BACA JUGA:
Guru wanita ditemukan meninggal dunia di sekolah
JPN Selangor sedia sokongan psikososial susulan kematian guru di Hulu Selangor

Menurutnya, perhatian dan keprihatinan yang ikhlas mampu memberi kekuatan kepada individu yang sedang berdepan tekanan.

“KPM dan saya sendiri sebagai Menteri Pendidikan sangat mengambil berat tentang kesihatan mental semua warga.

“Rakan-rakan NGO, pihak Kementerian Kesihatan (KKM), para kaunselor dan semua yang bersama dalam usaha ini menjadi saksi bahawa kerja ini tidak pernah terhenti.

“Masih banyak yang perlu kita lakukan dan kita akan terus melakukannya bersama-sama,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa semua warga pendidik sentiasa mendapat sokongan kementerian.

“Buat semua cikgu yang saya sayangi, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Kami menyayangi anda dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anda,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang guru wanita ditemukan maut di dalam bilik guru di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button