Aminuddin bimbang sistem pengecaman kehadiran pengundi ganggu kelancaran pengundian
SEREMBAN – Datuk Seri Aminuddin Harun berpandangan pelaksanaan Sistem Pengecaman Aksara Optik: Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition Voter Attendance, OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sepatutnya dibincangkan terlebih dahulu bersama semua calon sebelum dilaksanakan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, langkah memperkenalkan sistem baharu ketika pilihan raya dikhuatiri boleh menjejaskan kelancaran proses pengundian sekiranya berlaku masalah teknikal atau kelewatan.
Katanya, aspek kelancaran proses mengundi perlu menjadi keutamaan bagi memastikan pengundi tidak berdepan tempoh menunggu yang panjang sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
“Saya rasa itu sebenarnya sepatutnya dibincangkan dahulu kepada semua calon sebelum pelaksanaannya. Kerana kita tak tahu apa yang ingin dilaksanakan dan apakah yang boleh membantu sebenarnya.
“Dan kita khuatir bahawa ini akan mengganggu pengundian pada hari ini atau mungkin menyebabkan dia lebih lambat. Nanti orang akan rasa marah. Kita nak betul-betul ketika mengundi ini nak cepat,” katanya selepas mengundi di Institut Perguruan Raja Melewar di Sikamat, di sini, pagi ini.
Baca juga : Aminuddin yakin PH lepasi sasaran 19 kerusi PRN Negeri Sembilan
Beliau berkata demikian ketika mengulas bantahan rasmi calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Muhammad Nazri Kassim kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan sistem berkenaan.
Terdahulu, SPR memaklumkan sedang menjalankan projek rintis OCR-VA di pusat pengundian Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor di Ampangan, merangkumi saluran satu hingga tujuh.
Sistem tersebut merakam kehadiran pengundi secara automatik dengan mengimbas maklumat pada MyKad, sekali gus menggantikan proses penandaan secara manual.
SPR berkata, sistem itu bertujuan mempercepat pengesahan pengundi, mengurangkan kesilapan manual serta meningkatkan kecekapan pengundian, sambil menambah ia tidak merakam pilihan pengundi atau menjejaskan kerahsiaan undi.
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga calon PH bagi DUN Linggi berkata, sebarang penambahbaikan berkaitan proses pilihan raya perlu dibuat secara berhati-hati dan tidak seharusnya melibatkan percubaan ketika hari pengundian berlangsung.
“Sebab itu kami kata ini ketika pilihan raya jangan dibuat percubaan. Kerana ia akan membebankan pengundi itu sendiri,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















