PMX

PRN: Anwar yakin PH mampu pertahan mandat di Negeri Sembilan

SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan mandat di Negeri Sembilan berdasarkan rekod prestasi pentadbiran kerajaan negeri serta sambutan positif yang diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Keyakinan Pengerusi PH itu disuarakan ketika tempoh berkempen berbaki kira-kira lapan jam sebelum proses pengundian berlangsung esok, dengan beliau menyifatkan jentera gabungan itu terus menunjukkan komitmen tinggi sehingga saat akhir.

Anwar berkata, keadaan keseluruhan sepanjang kempen berada dalam situasi baik dan terkawal, selain kerjasama antara semua pihak turut berjalan lancar.

“Kerjasama semua pihak amat baik dan kita yakin PH akan diberi mandat, seterusnya mencapai kemenangan.

“Namun begitu, kita tidak mengambil mudah saingan daripada parti lawan. Seluruh jentera terus bekerja sehingga saat akhir bagi memastikan sokongan rakyat diterjemahkan kepada undi.

“Insya-Allah, kita yakin dapat mencapai kemenangan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Qaryah Paroi Jaya di sini, hari ini.

Baca juga : Kerajaan dedah penuh laporan RCI Tabung Haji, tiada yang disembunyikan – Anwar

Beliau berkata, tumpuan utama ketika ini adalah memastikan proses pengundian esok berjalan lancar dalam suasana aman, terkawal serta mendapat kerjasama daripada semua pihak.

“Yang penting kita tumpu (mendekati pengundi) dan selepas itu (hari pengundian) pastikan dalam keadaan terkawal, baik melalui kerjasama dengan semua pihak,” katanya.

Ditanya mengenai sasaran jumlah kerusi yang mampu dimenangi PH, Anwar bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada keputusan pengundi.

“Itu terserah sepenuhnya keputusan kepada pengundi. Itu kena tanya Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan),” katanya.

Sebelum ini, Anwar menegaskan keputusan pilihan raya tidak boleh ditentukan hanya berdasarkan kajian atau ramalan, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan rakyat yang keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan pertandingan bagi keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan hari pengundian ditetapkan esok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan awal PRN Negeri Sembilan mula diketahui seawal jam 10 malam, manakala keputusan penuh dijangka selesai pada jam 12 tengah malam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button