Ribuan pelarian Maghribi mendarat di Ceuta, Sepanyol kerah tentera
MADRID – Sepanyol mengerahkan pasukan tentera dan tambahan anggota polis ke Ceuta selepas ribuan migran dari Maghribi membanjiri wilayah autonomi Sepanyol di utara Afrika itu dalam kemasukan besar-besaran pada Khamis.
Dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 migran memasuki Ceuta melalui laluan laut dan darat dari Maghribi, menurut laporan Euronews.
“Sebahagian besar migran dilaporkan berenang mengelilingi pemecah ombak berhampiran Pantai Tarajal, manakala sebahagian lain menggunakan laluan darat dan kawasan pergunungan dalam usaha mengelak kawalan keselamatan,” lapor agensi berita itu.
Kemasukan secara mendadak itu menyebabkan pusat penerimaan migran di Ceuta berdepan tekanan hebat, dengan ratusan individu dilapor terpaksa tidur di jalanan selepas kemudahan sedia ada tidak mampu menampung jumlah pendatang yang tiba.
Sekurang-kurangnya sembilan migran maut dalam cubaan menyeberangi sempadan negara dengan kebanyakan kematian dipercayai berlaku ketika mereka cuba meredah laluan laut yang berbahaya.
Bagi mengawal keadaan, kerajaan Sepanyol menghantar pasukan tentera untuk membantu Pengawal Awam (Civil Guard) dan polis mengawal sempadan serta memulihkan ketenteraman di Ceuta.
Kira-kira 200 anggota polis khusus dan 60 anggota tentera dari tanah besar Sepanyol turut dihantar ke wilayah terpisah di tanah benua Afrika itu sebagai bantuan.
Di pihak Maghribi, pihak berkuasa meningkatkan kawalan di kawasan sempadan dan menggunakan meriam air bagi menyuraikan kumpulan migran yang berkumpul berhampiran bandar Fnideq, bersebelahan Ceuta.
Ketegangan turut tercetus apabila beberapa kenderaan dibakar dalam kekacauan yang berlaku sepanjang malam.
Punca lonjakan mendadak kemasukan migran itu masih belum dikenal pasti.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Sepanyol percaya rangkaian penyeludupan manusia mungkin mengambil kesempatan daripada perkembangan perundangan dan keadaan semasa bagi menggalakkan kemasukan migran.
Ceuta dan Melilla merupakan dua wilayah autonomi Sepanyol yang terletak di pantai utara Afrika dan mempunyai sempadan darat dengan Maghribi.
Kedudukannya menjadikan kedua-dua wilayah itu antara laluan yang digunakan migran untuk memasuki wilayah Sepanyol dan Eropah.
Krisis terbaharu itu mengimbau kembali insiden migrasi besar pada 2021 apabila kira-kira 8,000 migran memasuki Ceuta dari Maghribi dalam tempoh singkat, sekali gus mencetuskan ketegangan diplomatik antara Madrid dan Rabat.
Kerajaan Sepanyol kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Maghribi bagi mengawal kemasukan migran serta menguruskan proses pemulangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















