13 maut dalam kebakaran hutan di Sepanyol
MADRID – Seramai 13 orang disahkan maut dalam kebakaran hutan di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol dengan 12 daripada mereka dikenal pasti sebagai warga asing, menurut pihak berkuasa selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.
Memetik laporan agensi berita antarabangsa, mangsa terdiri daripada tujuh warga United Kingdom (UK), tiga warga Belgium, seorang warga Perancis, seorang warga Amerika Syarikat (AS) dan seorang rakyat Sepanyol.
Menurut badan awam yang mengendalikan proses pengecaman mangsa, kesemua mangsa ialah orang dewasa, membabitkan lapan wanita dan lima lelaki.
Kebakaran itu tercetus pada Khamis lalu di wilayah Almeria, kawasan di tenggara Sepanyol yang terkenal sebagai destinasi pelancongan serta menjadi lokasi penempatan ramai warga asing berhampiran pantai Mediterranean.
Api dipercayai merebak dengan pantas akibat tiupan angin kencang serta keadaan cuaca yang panas dan kering, menyebabkan kawasan hutan dan penempatan luar bandar musnah dalam tempoh singkat.
Pasukan penyelamat sebelum ini menemukan 12 mayat dalam keadaan rentung sehingga memerlukan ujian DNA bagi mengenal pasti identiti mangsa.
Pihak berkuasa percaya kebakaran itu berpunca daripada kabel elektrik yang terjatuh di atas jalan sebelum mencetuskan api yang memusnahkan kira-kira 7,000 hektar kawasan.
Kebakaran yang disifatkan antara paling buruk melanda Sepanyol dalam beberapa tahun kebelakangan itu kini berjaya dikawal, manakala penduduk yang dipindahkan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sejak Ahad lalu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sepanyol berdepan gelombang haba yang semakin panjang dan kerap, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran hutan.
Menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), lebih 393,000 hektar kawasan di negara itu musnah akibat kebakaran sepanjang tahun lalu, rekod tertinggi dalam sejarah moden Sepanyol.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








