Jangan pertikai RCI Tabung Haji, laporan dedah dakwaan rasuah dan salah guna kuasa – Fahmi
SENALING – Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil menegaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji perlu dilihat secara terbuka kerana ia mendedahkan kelemahan pengurusan serta dakwaan salah laku yang melibatkan institusi penting umat Islam itu.
Beliau berkata, laporan setebal lebih 250 muka surat itu menunjukkan Tabung Haji mengalami masalah kewangan serius antara 2014 hingga 2017 akibat pengurusan yang lemah.
Menurutnya, antara isu utama yang dibangkitkan RCI ialah tindakan mengubah angka kewangan melalui kaedah perakaunan kreatif sehingga kedudukan kewangan Tabung Haji dilihat lebih baik berbanding keadaan sebenar.
“Pada 2017, sebenarnya kerugian Tabung Haji ialah RM1.4 bilion, tetapi angka itu telah diubah melalui creative accounting sehingga daripada negatif menjadi positif RM3.4 bilion.
“Menukar angka akaun adalah satu kesalahan kerana ia melibatkan duit pendeposit. Saya sendiri pendeposit, ibu saya juga pendeposit. Kalau duit orang tidak dijaga dengan amanah, bagaimana kita mahu ada keyakinan?” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale PRN Negeri Sembilan di DUN Senaling malam ini.
Fahmi berkata, walaupun Tabung Haji mengalami kerugian, pembayaran hibah tetap dibuat ketika itu, yang disifatkannya bertentangan dengan peraturan kerana institusi berkenaan perlu memastikan aset melebihi liabiliti sebelum membuat pembayaran.
“RCI yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dzaiddin Abdullah, bersama anggota termasuk tokoh perbankan Tan Sri Rashid Hussain, turut mencadangkan beberapa langkah pemulihan bagi mengembalikan keyakinan pendeposit.
“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih kerajaan, Tan Sri Rashid dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji untuk membantu melaksanakan reformasi yang terkandung dalam laporan itu,” katanya lagi.
Menurut Fahmi, laporan tersebut tidak didedahkan lebih awal kerana mengambil kira kebimbangan terhadap keyakinan pendeposit.
“Kalau laporan itu didedahkan ketika keadaan belum dipulihkan, pendeposit mungkin akan mengeluarkan wang mereka secara beramai-ramai kerana hilang keyakinan terhadap Tabung Haji,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan ketika itu mengambil langkah mewujudkan Urusharta Jamaah bagi mengambil alih aset-aset yang dianggap tidak sesuai dimiliki Tabung Haji sebagai sebahagian daripada proses pemulihan.
Mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa laporan RCI tidak menyebut istilah “sakau”, Fahmi berkata perkara lebih serius sebenarnya dinyatakan dalam laporan berkenaan.
“Betul, perkataan ‘sakau’ tidak ada. Tetapi laporan itu menyebut perkara yang lebih berat iaitu dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Antaranya dakwaan rasuah dalam pembelian Ladang Weida Berhad oleh TH Plantations, dakwaan penyelewengan dalam penyewaan restoran serta salah guna kuasa dalam urusan renovasi,” katanya lagi.
Fahmi turut menggesa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia dan pihak berkaitan menjalankan siasatan sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.
“Sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang, melakukan pecah amanah atau merosakkan institusi penting umat Islam ini, hendaklah dibawa ke muka pengadilan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi menegaskan pendedahan RCI Tabung Haji bukan bertujuan menyerang mana-mana pihak, sebaliknya menjadi pengajaran dalam memilih pemimpin.
“Kita mesti belajar daripada apa yang berlaku. Dalam memilih pemimpin, pilihlah yang terbaik daripada yang baik. Salah memilih pemimpin boleh menyebabkan rosaknya harta, negeri dan negara,” katanya lagi.
Beliau turut mengaitkan isu Tabung Haji dengan beberapa kontroversi institusi lain sebelum ini termasuk FELDA dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sambil mengingatkan rakyat supaya tidak kembali kepada era tersebut.
“Apakah kita mahu kembali kepada zaman itu? Nauzubillah. Kita sudah lihat kesannya apabila institusi penting negara menghadapi masalah,” katanya lagi.
Fahmi hadir berkempen bagi calon PH DUN Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin dan menyeru pengundi memberi sokongan kepada calon tersebut pada PRN Negeri Sembilan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















