Fahmi beri jaminan selesai masalah capaian internet di Senaling – Mohd Hanis
SENALING – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Mohd Alimin berkata, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memberi jaminan untuk membantu menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan ketika pertemuan bersama Fahmi yang turut disertai Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ketika kempen PRN Negeri Sembilan berlangsung.
“Tadi saya bertemu Datuk Seri Fahmi Fadzil dan kebetulan Pengarah MCMC turut ada. Beliau memberi jaminan akan membantu menyelesaikan masalah capaian internet di Senaling.
“Ini antara isu yang dibangkitkan penduduk dan kita berharap ia dapat diselesaikan demi kemudahan masyarakat di kawasan ini,” katanya ketika berucap pada ceramah Grand Finale PH di Senaling malam ini.
Mohd Hanis berkata, perhatian terhadap isu komunikasi itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat, khususnya penduduk di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap kehadiran pemimpin PH termasuk Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu yang turun berkempen di Senaling.
Menurutnya, sokongan dan kehadiran pemimpin parti memberi semangat kepada jentera PH untuk terus bekerja menjelang hari pengundian.
“Saya percaya pada 1 Ogos nanti Senaling akan mencipta sejarah dengan membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan,” katanya lagi.
Mohd Hanis berkata, beliau turut menyeru pengundi, khususnya anak-anak tempatan yang berada di luar kawasan supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
“Di Senaling ada kira-kira 3,500 pengundi luar kerana ramai anak muda berhijrah keluar mencari pekerjaan. Saya rayu kepada ibu bapa yang tinggal di sini supaya ajak anak-anak pulang mengundi.
“Setiap undi penting untuk menentukan masa depan Senaling,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















