BERITA SEMASA

Lelaki maut terjatuh dalam tangki air ketika kerja kimpalan di MRSM Parit

IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah tangki air ketika menjalankan kerja kimpalan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Parit, dekat Parit, semalam. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Nazrin Yaakob, 34, dipercayai terjatuh ke dalam tangki air ketika melakukan kerja mengimpal tangga di bahagian dalam tangki berkenaan.

“Anggota bomba memasuki tangki air tersebut dan menjalankan operasi menyelamat menggunakan tali keselamatan sebelum berjaya mengeluarkan mangsa ke permukaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan berasingan, JBPM Perak turut memaklumkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Kampar berhampiran sebuah resort di Kebun Pak Wan, Gopeng.

Menurut Sabarodzi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari sebelum anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Tronoh yang kebetulan sedang menjalani latihan di lokasi berkenaan segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa berjaya ditemukan kira-kira 10 minit kemudian pada jarak antara 15 hingga 20 meter dari lokasi dia dipercayai kali terakhir dilihat.
Pegawai perubatan KKM kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button