Anwar seru pertahan perpaduan, jangan biar sentimen pecah-belahkan rakyat
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak membiarkan fitnah, kebencian atau sentimen yang memecah-belahkan masyarakat mengatasi semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan Malaysia selama ini.
Beliau berkata, kestabilan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini lahir daripada pengorbanan tidak pernah terhenti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta seluruh pasukan keselamatan.
Menurutnya, jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan menjadi asas kepada kestabilan, kemakmuran serta keyakinan dunia terhadap Malaysia.
“Alhamdulillah, saya dan Azizah (isteri beliau) berkesempatan bersama-sama keluarga besar Angkatan Tentera Malaysia di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
“Saya tekankan bahawa keamanan negara yang kita kecapi hari ini lahir daripada pengorbanan yang tidak pernah terhenti oleh warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta seluruh pasukan keselamatan.
“Jasa dan pengorbanan merekalah yang menjadi asas kepada kestabilan, kemakmuran serta keyakinan dunia terhadap Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, dalam sebuah negara majmuk, Perlembagaan Persekutuan kekal menjadi asas perpaduan dengan menjamin kedudukan Islam, hak orang Melayu dan Bumiputera, Bahasa Melayu serta institusi Raja-Raja Melayu.
“Inilah asas yang wajib terus kita pertahankan demi masa depan negara,” katanya lagi.
Baca juga : Kebajikan keluarga ATM terus jadi keutamaan, Anwar tinjau kerja selenggara RKAT
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mempertahankan kestabilan, memperkukuh perpaduan dan memastikan usaha pembangunan negara dapat diteruskan.
“Marilah kita terus pertahan kestabilan, memperkukuh perpaduan dan memastikan usaha membangunkan negara dapat diteruskan demi mewariskan sebuah Malaysia yang aman, bersatu, makmur serta dihormati kepada generasi mendatang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















