PH komited teruskan dasar perumahan mampu milik
PORT DICKSON – Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan dasar perumahan mampu milik di Negeri Sembilan bagi memastikan lebih ramai rakyat terutama golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, anak-anak Negeri Sembilan yang layak digesa memohon setiap kali tawaran atau iklan bagi rumah mampu milik Type A dibuka supaya manfaat itu dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan.
“Kita nak rumah Type A ini memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan, khususnya B40 ke bawah,” katanya ketika ditemui selepas sesi ziarah rumah ke rumah di Bandar Baru Sunggala, di sini hari ini.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif Rumah Harapan yang menyasarkan golongan B40 yang memiliki tanah sendiri atau tanah keluarga di kampung untuk membina rumah.
Menurutnya, program itu bukan sahaja membantu rakyat memiliki kediaman yang selesa, malah bertujuan mengekalkan komuniti di kawasan luar bandar dengan mengurangkan penghijrahan anak muda ke bandar.
“Rumah Harapan adalah untuk mereka yang ingin tinggal di kampung sendiri, di tapak sendiri, di tanah milik keluarga, milik ibu bapa atau milik sendiri.
“Kita tidak mahu kampung terus ditinggalkan sehingga menjadi kawasan yang kekurangan penduduk kerana ramai berhijrah ke bandar semata-mata akibat masalah kediaman,” katanya.
Beliau berkata, harga Rumah Harapan ketika ini ialah RM85,000, namun tertakluk kepada perubahan kos semasa, sambil menegaskan skim itu tidak mengenakan sebarang faedah ke atas pembayaran.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pola sokongan pengundi, Aminuddin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang jangkaan kerana pada pandangannya, pengundi masih menilai perkembangan semasa dan mahu melihat apa berlaku seterusnya sebelum menetapkan pilihan pada 1 Ogos ini.
“Dah seminggu (kempen) tapi masih awal untuk membuat penilaian. Pengundi masih menilai, tengok apa berlaku.
“Ada yang memang dah buat keputusan, ada yang masih di atas pagar. Mana yang atas pagar ini saya nampak mereka akan memberi sokongan saat akhir.
“Golongan ini besar jumlahnya dan mereka besar yang perlu diberi perhatian,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








